13 Disember 2017
Assalamua’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Bismillahirahmanirrahim.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama-sama para hadirin sekelian di Majlis Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tempoh tiga tahun mulai tarikh 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020 dan majlis makan tengahari bersama imam-imam seluruh negeri Selangor pada pagi ini.
Pada pagi yang penuh bermakna ini, marilah kita semua bersama-sama mengangkat tangan memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmati dan dilindungi daripada apa-apa malapetaka dan musibah, supaya rakyatnya yang berbilang kaum dapat hidup dalam aman makmur dan harmoni, manakala agama Islam sebagai agama negeri akan terus dihormati dan dipandang mulia di negeri Selangor ini.
Beta mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Ahli-Ahli MAIS yang telah dilantik semula dan Ahli-Ahli MAIS yang baru dilantik untuk menganggotai badan penasihat Agama Islam kepada Beta. Suka Beta mengingatkan semua Ahli-Ahli MAIS yang dilantik ini agar menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah, telus, cekap dan berintegriti.
Beta sedia maklum bahawa Ahli-Ahli MAIS ini adalah terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kemahiran, pengalaman dan kebijaksanaan di dalam bidang masing-masing. Ahli-Ahli MAIS yang dilantik mempunyai peranan yang amat penting mengikut kepakaran masing-masing dalam memacu halatuju pembangunan syiar Islam di negeri Selangor ini agar mencapai satu tahap kecemerlangan yang tinggi.
Justeru itu, Beta mahu setiap Ahli-Ahli MAIS berusaha keras bagi mengembangkan syiar Islam disamping tidak mengenepikan pembangunan ekonomi umat Islam di negeri Selangor ini. Beta mahu Majlis Agama Islam Selangor ini menjadi sebagai satu institusi agama Islam yang berwibawa dan dihormati serta menjadi contoh kepada insititusi Agama lain di Negara ini.
Menyentuh soal pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor dan jabatan-jabatan di bawahnya, Beta difahamkan terdapat pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan yang ditempatkan di Jabatan Agama Islam Selangor, sekolah-sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor, Jabatan Mufti Selangor serta jabatan-jabatan agama lain di Selangor. Apa yang ingin Beta tegaskan di sini adalah setiap pegawai Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri Selangor ini perlulah mengikuti apa juga dasar, undang-undang, peraturan dan garispanduan yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Mereka juga perlu memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Beta selaku Ketua Agama Islam di negeri ini sepanjang perkhidmatan mereka di Selangor ini walaupun menerima gaji dan elaun daripada Kerajaan Persekutuan.
Perlu juga Beta tegaskan kepada semua yang hadir bahawa undang-undang telah memperuntukkan bahawa segala yang berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam di negeri Selangor ini adalah terletak sepenuhnya di bawah kuasa dan pertimbangan Beta. Justeru segala dasar dan peraturan yang ditetapkan di negeri Selangor ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Beta ingin mengingatkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang bertindak sebagai badan agama di peringkat Persekutuan hanya berfungsi selaku agensi pusat yang berperanan untuk menyelaras perkara yang berkaitan agama Islam antara negeri-negeri di Negara ini. Setiap satu dasar berkaitan dengan agama Islam dari pihak JAKIM sebagai contohnya isu-isu berkaitan dengan pensijilan halal, zakat, pemakaian sesuatu fatwa, wakaf dan sebagainya yang ingin dilaksanakan di negeri Selangor perlulah merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor terlebih dahulu sebagai badan penasihat agama Islam kepada Beta sebelum perkara ini diangkat kepada Beta untuk dilulus dan dilaksanakan.
Kepada imam-imam dan pegawai-pegawai agama di masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor ini, Beta menyeru agar sentiasa mempertahankan kesucian serta ajaran Agama Islam dan memastikan tiada di kalangan tuan-tuan yang terlibat atau mengajak umat Islam mengikuti fahaman ektrimis mahupun liberalism. Beta pernah dimaklumkan bahawa terdapat golongan tertentu di kalangan umat Islam yang telah terpesong dengan ajaran Islam sebenar sehingga menganggap pembunuhan yang dilakukan terhadap sesama manusia adalah satu jihad yang dituntut oleh Allah. Fahaman dan ikutan sebegini amat merbahaya jika dibiarkan menular di kalangan umat Islam kerana ini boleh menyebabkan pembunuhan sesama umat Islam dan perpecahan umat Islam seperti yang berlaku di beberapa buah Negara Teluk kebelakangan ini. Oleh itu, Beta mahu imam-imam dan pegawai-pegawai agama untuk sentiasa memantau kegiatan ektrimis ini agar ianya tidak berlaku dan bertapak di negeri Selangor.
Untuk tujuan itu juga Beta menyeru semua imam-imam dan pegawai-pegawai masjid untuk memastikan penceramah dan ustaz-ustaz yang memberi ceramah di masjid-masjid dan surau di dalam negeri Selangor ini mendapat tauliah yang sewajarnya sebelum dibenarkan mereka untuk berceramah. Ceramah-ceramah mereka juga perlu dipantau agar tidak menyeleweng dari ajaran Islam sebenar dan menggelirukan masyarakat Islam. Perkara ini telah selalu Beta tegaskan sebelum daripada ini namun masih terdapat imam-imam dan pihak nazir masjid yang masih engkar dan tidak mematuhi titah Beta hingga menyebabkan berlaku ajaran-ajaran dan ceramah-ceramah yang mengelirukan masyarakat Islam berlaku di masjid-masjid dan surau di negeri ini. MAIS dan JAIS sebagai badan agama tertinggi di Selangor perlu sentiasa tegas di dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar titah Beta dan melanggar segala peraturan yang telah ditetapkan.
Di samping itu, Beta menyeru kepada semua imam-imam sebagai peneraju utama agama Islam di Selangor untuk memupuk semangat kerjasama yang tinggi semasa melaksanakan tugas tanpa ada perasaan cemburu dan hasad dengki antara satu sama lain. Perasaan hasad dengki antara satu sama lain ini memang sudah lama bertapak di dalam budaya kehidupan orang Melayu Islam di negara ini yang mana menjadi punca kenapa umat Melayu Islam sering ketinggalan di dalam semua aspek kehidupan. Dengan kedatangan tahun baru 2018 ini adalah diharapkan tuan-tuan semua menanam azam baru yang boleh membawa satu perubahan drastik terhadap sikap dan cara kerja kita selama ini bagi melancarkan pembangunan syiar suci Islam dan melakar kejayaan sosio-ekonomi umat Islam di negeri Selangor ini.
Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan Beta ini, Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor yang telah berkhidmat dan memberikan sumbangan kepada pembangunan Agama Islam di negeri Selangor ini sepanjang tempoh lantikan mereka. Beta ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Adzib, Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Abdul Halim dan Yang Berbahagia Professor Dato’ Dr. Sidek bin Baba di atas sumbangan mereka yang besar dan tidak ternilai kepada pembangunan agama Islam di Selangor ini dan atas perkhidmatan mereka kepada Beta.
Beta berdoa supaya negeri Selangor ini akan kekal menjadi sebagai negeri yang termaju di Malaysia dan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain di dalam segala aspek khususnya pembangunan umat Islam. Beta berharap rakyat Selangor akan dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta kekal maju dan berdaya saing di samping mendapat perlindungan daripada Allah Subhahanahu Wata’ala.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Leave a Reply