TITAH UCAPAN SULTAN SELANGOR – Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Ke-41 Tahun 2017

4 November 2017

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Selamat Sejahtera

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UPM ke empat puluh satu (41) Tahun 2017.

Beta juga bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana hari ini UPM mencatatkan sejarahnya tersendiri, iaitu meraikan enam ribu lima ratus (6500) graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di UPM. Mereka terdiri daripada enam ratus dua puluh tujuh (627) PhD, satu ribu enam ratus dua puluh lapan (1628) Master, tiga ribu tujuh ratus dua puluh (3720) Bacelor dan lima ratus dua puluh lima (525) Diploma.  Pada Konvokesyen kali ini, UPM turut menghasilkan graduan PhD tertinggi dan melepasi sasaran lima ratus (500) graduan PhD yang ditetapkan. Tahniah Beta ucapkan.

Majlis Konvokesyen kali ini juga merekodkan graduan sulung untuk lima (5) orang graduan Doktor Kejuruteraan dan dua (2) orang graduan program Master Perubatan  (Psikiatri), dan dua (2) orang graduan Master Perubatan (Perubatan Keluarga).

Beta juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tajuddin Atan, atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan atas sumbangan dan jasa beliau dalam bidang kewangan negara dan antarabangsa. Begitu juga dengan Prof. Dr. Omar Yaghi yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains atas sumbangan dan pencapaian dalam bidang sains pada peringkat global. Congratulations to Datuk Seri Tajuddin Atan and Professor Dr. Omar Yaghi for the conferment of Honorary Doctorate of Finance and Honorary Doctorate of Science, respectively. Beta berharap beliau akan terus memberikan sumbangan bakti dan bersama-sama untuk memacu kemajuan universiti, bangsa dan negara  ke tahap yang membanggakan.

Beta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para ibu bapa, keluarga dan graduan yang telah memilih Universiti Putra Malaysia sebagai destinasi utama untuk melanjutkan pengajian. Syabas dan tahniah Beta ucapkan kepada para ibu bapa atas kejayaan graduan yang membanggakan. Semoga generasi cintakan ilmu ini diteruskan bagi membina kapasiti tamadun yang berkualiti menjelang tahun 2050.

Beta gembira dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan Universiti Putra Malaysia bagi tahun 2017. Dengan ketabahan dan kesungguhan warga universiti telah berjaya meletakkan UPM dalam senarai 1 peratus (1%) universiti terbaik dunia daripada kalangan lebih dua puluh satu ribu (21,000) institusi pendidikan tinggi dunia. Dari aspek ranking, UPM telah berjaya melompat 41 anak tangga ke kedudukan dua ratus dua puluh Sembilan (229) universiti terbaik dunia dalam pengiktirafan QS World University Ranking berbanding pada kedudukan 270 pada tahun 2016. Di peringkat Asia, dalam pengiktirafan QS Asia University Ranking baru-baru ini, UPM berada dalam kelompok 50 terbaik, iaitu di tangga ke-tiga puluh enam (36) dalam kalangan hampir dua belas ribu (12,000) universiti di Asia.  Syabas UPM.

Beta difahamkan bahawa Universiti masih mengekalkan keunggulan dalam pengurusan harta intelek dengan Memenangi hadiah utama Pengurusan Harta Intelek bagi kategori organisasi. Beta yakin dan percaya bahawa kejayaan ini dapat distrategikan dengan peningkatan usaha bagi menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan industri, baik dari aspek pulangan penjanaan pendapatan mahupun peningkatan nilai kualiti masyarakat. UPM turut menerima pengiktirafan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Universiti Awam Paling Berkeusahawanan 2017. Ini bagi menghargai inisiatif dan usaha UPM yang cemerlang dalam pendidikan dan pembangunan keusahawanan. Beta juga berasa gembira dengan inisiatif kelestarian hijau yang dilaksanakan oleh UPM bagi mengekalkan Kampus Hijau universiti dan menjadi universiti pertama memperoleh Anugerah Kursi Ketua Setiausaha Negara bagi kelestarian hijau.

Beta berkenan, mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar atlet UPM yang telah mengharumkan nama UPM dan negara di persada antarabangsa, dan yang terbaharu di Kejohanan Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017. Seramai tujuh puluh lima (75) orang atlet UPM telah mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan SEA, Kuala Lumpur. Atlet UPM telah menyumbangkan sebanyak tiga puluh tujuh (37) pingat iaitu lima belas (15) emas, sebelas (11) perak dan sebelas (11) pingat gangsa. Selain itu, pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, saudari Cheong Jun Hoong yang telah berjaya memenangi emas dalam acara sepuluh (10)-meter platform individu dalam kejohanan Akuatik Dunia 17th FINA World Championships di Budapest, Hungary. Kejayaan ini merupakan sejarah dan julung kali buat atlet Malaysia dalam acara tersebut di peringkat antarabangsa. UPM merupakan rumah kepada juara dunia, dan juara Asia dalam bidang sukan, dan ini amat membanggakan. Beta berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai juara dunia pada masa hadapan. Tahniah UPM.

Beta berasa gembira atas usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh universiti untuk membina model pendidikan dan penyelidikan berdaya maju. Kerjasama rapat dengan pihak industri bukan sahaja dapat menambah nilai kepada kemahiran dan pengalaman pelajar atau graduan ia juga memberi peluang kepada universiti untuk meneroka dan mencipta bidang baharu yang relevan untuk masa hadapan negara. Dengan ini, Beta difahamkan bahawa UPM telah mengadakan kerjasama strategik dengan syarikat seperti Sime Darby Berhad, AirAsia, Holstein Sdn Bhd. dan Malayan Flour Mills Berhad.

Beta juga berkenan UPM melalui Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan akan terus aktif bagi menyokong agenda sekuriti dan keutamaan makanan negara. Penyelidikan padi UPM, telah menghasilkan sembilan (9) teknologi padi yang dikenali sebagai Inovasi Padi U-Putra. Inovasi ini telah meningkatkan hasil padi dan membaiki sosioekonomi petani melalui teknologi pengurusan mampan dan penghasilan varieti baharu.  Inovasi ini diharap dapat membantu mengurangkan pengimportan beras untuk memastikan sekuriti makanan negara.

UPM   juga    telah   berjaya   membangunkan   teknologi  e-Cutter, iaitu teknologi sabit elektrik yang ringan, jimat tenaga dan mampu memetik buah kelapa sawit serta mencantas pelepah kelapa sawit sehingga ketinggian kira-kira tiga puluh (30) kaki. Teknologi ini dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Inovasi E-Cutter UPM ini mampu menyelesaikan masalah dan memudahkan kerja-kerja perladangan terutama dalam industri kelapa sawit. Dengan inovasi ini, produktiviti penuaian dapat meningkatkan hasil ekonomi peneroka. UPM akan menyerahkan seribu (1000) unit teknologi ini kepada FELDA Zon Hulu Selangor secara berperingkat.

Para graduan UPM baik dari Malaysia mahupun pelajar antarabangsa, hendaklah berperanan untuk menjadi duta UPM. Jangan terlibat dalam gerakan berasaskan keganasan walau atas nama agama kerana pembunuhan dan keganasan ke atas manusia adalah bertentangan dengan prinsip agama.

Beta juga berkenan para graduan mempunyai tekad yang tinggi bagi memerangi najis dadah. Najis dadah ini amat merbahaya dan merosakan pemikiran, fizikal dan emosi serta boleh menyebabkan kerosakan yang besar kepada bangsa dan negara sekiranya tidak dibanteras. Ia merupakan ancaman kepada kemajuan bangsa, negara dan peradaban dunia. Beta berasa sangat dukacita apabila difahamkan dadah ini bukan sahaja mempengaruhi golongan belia, tetapi juga remaja yang masih bersekolah. Para graduan harus berperanan aktif dalam masyarakat untuk sama-sama membanteras gejala ini daripada terus merebak dalam masyarakat.

Beta berkenan sebagai alumni universiti, para graduan akan memainkan peranan dan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan masyarakat dan Negara. Yang penting, walau apapun pencapaian para alumni dalam kerjaya, Beta ingin menggesa para alumni untuk sentiasa kembali ke UPM sama ada secara fizikal atau melalui apa kaedah sekalipun untuk bersama-sama membantu UPM. Langkah ini akan membolehkan UPM berfungsi sebagai hub ilmu atau knowledge hub yang relevan pada setiap masa. Beta dan pengurusan universiti yang diterajui oleh Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris selaku Naib Canselor sentiasa terbuka bagi menerima cadangan dan sumbangan idea bagi menyebarluaskan peranan universiti sebagai institusi kesarjanaan yang dihormati dan disegani.

Beta berharap Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Naib Canselor serta pengurusan universiti akan terus melonjakkan pencapaian universiti ke arah merealisasikan visi sebagai universiti bereputasi antarabangsa. UPM telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam ranking universiti terbaik dunia dan Beta berharap semua pihak memberikan sokongan padu bagi mencapai sasaran berada di kumpulan 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

Akhir sekali, Beta mendoakan agar segala usaha yang dilaksanakan oleh universiti ini diteruskan bagi manfaat Bersama.

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: